Pages

22 June 2011

Netbook dan Pelajar


Langkah kerajaan memberi Netbook 1Malaysia kepada pelajar sekolah (bermula di Terengganu) dilihat dan diharap memberi kesan positif dalam mempertingkatkan kadar celik komputer di kalangan pelajar. Tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar, mereka boleh merasai nikmat melayari alam siber dengan modal yang sedikit iaitu wang pendaftaran seratus ringgit lebih(nilai sebenar tidak diketahui). Mereka juga tidak lagi rasa terliur dan hanya mampu menjeling laptop kawan tapi boleh memiliki sendiri tanpa ragu lagi.


Pelajar tingkatan 3 dan 5 yang diberikan netbook ini akan lebih rasa bebas mencari bahan untuk persekolahan mereka tanpa perlu ke kafe siber kerana pakej yang diperolehi menawarkan modem jalur lebar dengan kadar yang rendah. Ini menyenangkan ibu bapa kerana tidak perlu fikir itu ini kerana semuanya tersedia untuk kemudahan anak-anak mereka. Bukankah ini sesuatu yang positif bila difikirkan?

Dengan adanya netbook ini semua sumber yang terdapat di persekitaran dan berkait dengan komputer dapat dimuatkan oleh pelajar ke dalamnya. Fail-fail seperti dokumen, lagu, video, imej dan sebagainya boleh sewenangnya diisi ke dalam pemacu kilat (atau disebut sebagai pendrive) dan seterusnya dipindah ke netbook. Bukankah mudah!

Seterusnya pelajar akan sentiasa berkepit dengan netbook ini. Tiada ragu tentang perkara ini. Petik saja dengan jari, facebook akan terpampang di depan mata! Boleh melihat berbagai jenis aksi sendiri dan rakan yang dirakam dengan kamera telefon dan kamera digital yang kualiti pikselnya teruk. Tidak mengapa, semua pelajar ada akaun fb ini. Inilah teknologi namanya.Teknologi yang banyak manfaatnya. Tetapi akan melahirkan pelajar yang suka berseronok dan berfantasi semata.

Banyak masa yang sepatutnya diguna untuk menelaah pelajaran akan digunakan untuk 'bermain komputer' dan 'bermain Internet'. Lihatlah nanti, keputusan peperiksaan yang selama ini sudah teruk akan semakin teruk selepas pemberian netbook ini. Kita akan dapati pelajar yang selama ini markahnya sekitar 60% akan menjadi 40%. Inilah harga yang perlu dibayar atas apa yang kita dapat kesan dari netbook free ini.

Ibubapa juga akan sukar untuk menyuruh anak mereka buat kerja kerana asyik dengan komputer ini. Kesan berantai ini akhirnya memusnahkan pelajar itu sendiri. Mereka akan hilang fokus bila asyik dan ralit dengan benda alah ini. Mungkin solat pun mereka akan terlupa.

Sepatutnya dibuat kajian terlebih dahulu sebelum memberi sesuatu kepada pelajar kerana jika silap percaturan, masa depan mereka akan tergadai. Mereka bukannya tahu buruk baik dalam erti kata sebenarnya. Mereka tahu berseronok sahaja. Kerana netbook atau laptop ini biasanya dibeli oleh ibubapa bila anak mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading!


Baca Selanjutnya...

23 March 2011

Keputusan SPM 2010; Menguja atau Mengejutkan?

Kalau ditanya pada saya mengenai keputusan SPM 2010 yang diumumkan 23 Mac 2011, saya ada beberapa pandangan. Secara kasarnya keputusan tahun 2010 menunjukkan penurunan yang ketara dari segi peratus keseluruhan iaitu berkurang 4% kepada 90%. Tapi dari segi kualiti amat memberangsangkan dengan meningkatnya peratus pelajar mendapat A dalam semua subjek.


Penurunan peratus keseluruhan bukan disebabkan pelajar tidak dapat menjawab atau gagalnya guru dalam mengajar atau menyampaikan ilmu secara berkualiti kepada pelajar, tapi disebabkan oleh sebilangan besar pelajar gagal hadir ke sekolah untuk menuntut ilmu setiap hari dari guru-guru yang sememangnya mempunyai kemahiran dan kebolehan tinggi mengajar mereka. Guru-guru sentiasa bersedia mencurahkan ilmu dan mengorbankan tenaga dan masa melentur anak didik mereka menjadi pandai dan cekap dalam peperiksaan, namun sikap pelajar sendiri yang menjerumuskan mereka ke lembah kegagalan yang mengakibatkan masa depan mereka gelap dan suram. Lebih buruk, sekolah mendapat imej yang kurang baik lantaran ini. Tapi bukan kesan buruk itu yang berada di petak fikiran pelajar, tapi sesuatu yang sukar dimengertikan oleh kita para guru.

Walau apa pun ulasan yang kita beri kesan keputusan SPM 2010 ini, ianya sedikit sebanyak melebarkan bibir sesetengah puak-puak kita kerana adanya pelajar kita yang pencapaian mereka seumpama hembusan angin sejuk nyaman tatkala panas terik menikam kulit di tengahari. Segelintir merekalah yang menjadi angin sejuk itu. Senyum dan gelak tawa juga air mata kegembiraan mereka telah mendinginkan perasaan kecewa yang digalas oleh guru-guru yang subjek menunjukkan penurunan. Semua itu hilang dan terbang bila melihat pelajar kita seronok dan gembira di hari bersejarah kepada mereka ini.

Gambar-gambar sekitar hari keputusan SPM 2011 ini mungkin berupaya menceritakan tentang kegusaran guru-guru, gelagat para pelajar. Tahniah kepada yang cemerlang dan kepada yang sedih, jangan terus-terusan begitu, bersyukur dan menerima takdir lebih baik dari meratapinya.



Baca Selanjutnya...

19 January 2011

18 November 2010

SPM 2010: Antara Realiti dan Fantasi

Sehari dua lagi perjuangan pelajar tingkatan 5 akan sampai ke puncaknya. Berjuang dengan bersenjatakan pen,pensil, kertas,'roba'dengan asahan dari minda. Oleh kerana peperiksaan SPM berteraskan hafalan dan pemahaman, maka pelajar yang rajin akan beruntung kerana inilah medan untuk yang berusaha menghafal menuai hasil manakala yang suka berangan-angan akan bertemu kehampaan. Begitulah lumrah dalam mengejar suatu yang indah tapi sukar digapai. Menggapai kena dengan kerja keras kerana yang akan menjadi habuan sangat lumayan harganya. Maka usaha mesti keras, tidak boleh hanya dengan azam atau angan-angan saja tanpa pengorbanan banyak perkara.

Azam dan angan tidak salah. Ianya amat perlu kerana ianya sebagai penguat semangat untuk berusaha. Tapi angan saja tidak cukup tanpa usaha dan tawakal kepada Allah. Ramai pelajar yang mengimpikan yang indah-indah tapi datang ke sekolah dengan lemah fizikal dan minda. Fizikal yang lemah akan melemahkan minda juga. Itulah sebab dalam kelas kedapatan pelajar yang tidur masa cikgu mengajar. Tidak dapat memberi jawapan bila disoal oleh guru kerana fikiran berada di tempat lain.

Masih ada masa lagi untuk menyemak diri sebelum memasuki dewan peperiksaan supaya apa yang habiskan dalam 5 tahun ini berbaloi dan balik modal. Jangan sia-siakan harapan diri sendiri, ibu bapa, keluarga, masyarakat dan lain-lain perkara.
Walaupun SPM free tidak kena bayar satu sen pun,jadikanlah ia berharga dengan menjawab bersungguh-sungguh,dengan harapan yang tinggi dan dengan niat yang suci.Jika tidak,perjalanan selama 5 tahun ini adalah menjadi sia-sia saja.Sia-sia seperti nelayan turun ke laut tanpa pukat,tanpa pancing, tanpa apa-apa.Renungkanlah dengan mata hati dan akal budi.
Selamat menhadapi ujian getir ini kepada anak muridku. Hadapi SPM ini seumpama kita berperang dengan musuh. Dan jihad ini biar benar dan benar. Dan berdoalah kepada Allah " Ya Allah Ya Tuhanku, Tunjukkan aku sesuatu itu benar jika dia sesuatu yang benar dan tunjukkan aku sesuatu itu batil jika ianya sesuatu yang batil".

Selamat Maju Jaya.


Baca Selanjutnya...

17 October 2010

Ya Allah Ya Tuhanku
Engkaulah Tuhan Yang Aku sembah,
Tiada Tuhan selain Engkau
Engkaulah yang mencipta segala sesuatu
Di langit dan di bumi
Segala-galanya dalam pemerhatianMu
Sesungguhnya aku,
Hanya insan ciptaanMu yang lemah dan tidak berdaya sedikitpun
Melainkan dari belas IhsanMu


Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang
Yang menjadikan aku melalui ibuku
Memberikan aku dengan tidak terhitung nikmatMu
Sehinggakan setiap kelipan mataku adalah rahmatMu
Setiap sedutan oksigen adalah dari sifat rahmatMu
Setiap suapan ke dalam rongga mulutku adalah dari kasihan belasMu
Setiap rona maya dari penglihatanku adalah kurniaanMu
Setiap langkah hayunan kakiku adalah pinjaman dariMu
Setiap getaran menerobos gegendangku adalah dari sifat pemurahMu
Aku hanyalah hambamu
Yang diberi pinjam semua hak milikMu
Bagaimana mungkin aku menganggap apa yang engkau pinjamkan itu
Adalah hak mutlakmu
Maha suci Engkau Yang Allah
Tuhan Pencipta sekalian alam

Engkaulah Yang Maha Perkasa,
Lagi Maha Bijaksana,
Engkaulah Tuhan Yang Maha Mengetahui
Disegenap penjuru ciptaanMu
Engkaulah Tuhan Yang Maha Keras Balasannya


Baca Selanjutnya...

04 September 2010

Puasa

Sedang elok kita dibawa arus puasa yang mengulit kehidupan kita hampir sebulan ini, akhirnya tetamu istimewa kita ini sudah mahu berkalih dan mahu pergi meninggalkan kita tanpa rela. Puasa tahun ini seperti tahun sebelumnya tidak banyak beza (dari segi penglibatan diri dalam beribadat). Bekerja seperti biasa tetapi sedaya upaya mengelak dari melakukan perkara yang mengurangkan pahala.


Tetapi pelajar sekolah lain sedikit di bulan mulia ini. Malas, ponteng, tidak hormat guru menjadi dua kali lebih hebat dari bulan biasa. Kalau dalam bulan bukan puasa dia menjawab 'malas cikgu' jika ditanya kenapa tidak siapkan kerja rumah, dalam bulan puasa pun sama juga. Bila kita nasihat mereka angguk tanda faham, tapi melanggar nasihat itu kemudiannya. Sebagai contoh, bila kita nasihat supaya tidak merayau tidak tentu hala, mereka terus merayau tanpa arah tujuan. Jangan lama di tandas sebab tandas bukan tempat yang teruk dan banyak bakteria, mereka melepak terus dalam tandas tu. Kita nasihat supaya berbaik-baik sesama sendiri dalam bulan ini, tapi mereka terus tidak bertegus sapa dengan yang dulunya kawan baiknya. Tapi ada juga yang saya nampak sebelum tidak bertegus sapa, dalam bulan puasa mereka berbaik-baik. Alhamdulillah. Semua ini berkat bulan puasa.

Semua itu contoh kepura-puraan dalam bulan puasa yang mulia ini. Kepura-puraan ini jika dilakukan akan menambahkan titik hitam dalam diri kita bukan membawa diri kita menjadi lebih baik.

Bagi pelajar yang bakal menempuhi PMR dan SPM, bulan Ramadan ini adalah bulan memohon dari Allah agar kita berjaya dalam peperiksaan. Dengan sedikit pengorbanan seperti bangun dan sembahyang malam yang di dalamnya mengandungi solat tahajud, hajat, zikir dan sebagainya menjadi jambatan untuk kita berjaya. Mintalah dengan penuh pengharapan dan rendah diri.

Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan dan maaf Zahir Batin.


Baca Selanjutnya...

01 August 2010

Grafiti

Salah satu kebolehan pelajar yang rasanya tidak pernah disuruh atau diarah dan tiada kelas formal dalam mengaplikasikannya ialah aktiviti menconteng dinding sekolah dengan tulisan yang tidak enak dilayani. Perlakuan ini tergolong dalam adik-beradik 'kugha' atau conteng dalam istilah piawai Bahasa Melayu.

Biasanya perlakuan ini didorong oleh pelbagai faktor antaranya ialah keinginan untuk menjadikan sesuatu itu diingati dalam tempoh yang lama. Medium yang diguna biasanya pen dakwat, marker, kapur dan sebagainya.
Sejarah conteng-menconteng dinding ini bermula di Philadelphia, Pennsylvania, AS pada 1960-an oleh samseng jalanan untuk menyatakan kegiatan ganas mereka. Mereka biasanya menulis nama-nama yang berkonotasi dengan aktiviti jahat yang mereka lakukan untuk memberitahu kepada orang ramai bahawa mereka adalah ancaman kepada masyarakat.

Contengan yang ada di dinding konkrit sekolah biasanya berunsur lucah dan gelaran serta sindiran kepada guru sekolah. Biasanya sindiran kepada guru ditulis dengan perkataan yang bersaiz besar dan penuh dengan unsur lepas geram kepada guru terbabit, Tujuan pelajar yang menulis dinding ialah biar semua pelajar lain tahu dan ketawa bila membaca tulisan tersebut. Biasa lokasi tulisan ialah di tangga, tandas, laluan utama dan pagar sekolah.

Kesannya, dinding menjadi cacat dan individu yang dituju akan merasa malu dengan tulisan dinding itu.

Adakah pelajar tidak tahu bahawa mengaibkan orang adalah berdosa besar dan selagi tidak diampunkan oleh 'mangsa', dosanya akan berkekalan sampai bila-bila.

Kita maklum bahawa isu ini adalah remeh saja. Tidak patut disiarkan di blog ini pun. Namun saya merasakan ianya tidak patut menjadi kebanggaan kepada pelajar lain kerana ianya tidak bermoral sama sekali. Ianya secara total menjadikan kita seumpama 'lempar batu sembunyi tangan'. Menjadikan kita sebagai orang pengecut kerana tidak berani berkata sesuatu yang kita tidak puas hati.

Kita mengharapkan supaya aktiviti ini berhenti setakat ini sahaja dan tidak menular. Pada para pelajar, buat sesuatu yang bermanfaat kepada sekolah. Jikalau anda berminat hendak menulis, hantar tulisan anda kepada majalah sekolah. Itu lebih bermakna. Atau berminat melukis, mohon melalui guru Pendidikan Seni Visual untuk melukis mural dan sebagainya. Mural ialah sejenis lukisan yang biasanya dilukis di dinding yang menggambarkan pelbagai subjek seperti alam, kemajuan negara dan sebagainya.

Kepada pelajar sekalian, lakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Jika tidak mahu buat apa-apa, diam saja dan jalankan kehidupan seperti biasa, sebagai seorang pelajar.




Baca Selanjutnya...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...